Tag Archives: Produk Unsur Babi

Halalkah Evening Primrose Oil?

Apa Kebaikan Evening Primrose Oil?

Evening Primrose Oil merupakan minyak ataupun pati yang diekstrak daripada biji bunga Evening Primrose, sejenis bunga liar yang berasal dari Amerika Utara dan juga tumbuh di kawasan Eropah dan hemisfera selatan.

Bunga Evening Primrose ini pada asalnya digunakan secara tradisional oleh masyarakat asli Amerika Utara untuk merawat masalah kulit dan pokoknya direbus untuk merawat masalah batuk, sakit tekak, arthritis dan pelbagai lagi.

Oleh itu kajian dijalankan dengan mengekstrak minyak daripada biji bunga Evening Primrose ini dan hasil analisa mendapati minyaknya kaya dengan essential fatty acid (asid lemak perlu) iaitu Linoleik dan asid Gamma Linolenik (GLA).

Evening Primrose Oil kini semakin popular kerana menjadi suplemen pilihan utama wanita kerana kegunaannya yang dapat mengatasi masalah kesihatan termasuklah:

  • Membantu mengawal atur kitaran haid.
  • Melegakan Sindrom Sebelum Haid (PMS) – iritasi, sakit kepala, sakit payudara dan senggugut.
  • Mengurangkan simptom putus haid – panas badan, peluh sejuk kemurungan dan kekeringan faraj.
  • Menggalakkan kulit yang sihat, muda berseri – bermanfaat kepada kulit yang kering, berumur atau berminyak. Melegakan ekzema dan alergi kulit.
  • Memperbaiki rambut yang kering dan rosak serta melegakan kulit kepala yang gatal.
  • Menguatkan kuku yang mengelupas atau mudah patah.

Fungsi kandungan Evening Primrose Oil

Essential Fatty Acis – Asid-asid lemak perlu (EFA) adalah kumpulan lemak politaktepu yang penting untuk fungsi tubuh. Asid lemak perlu merupakan komponen membran sel dan sel-sel saraf. Ia juga membantu mengekalkan intergriti membran-membran sel yang membenarkan nutrien-nutrien memasuki sel-sel dan penyingkiran bahan buangan. Asid-asid lemak ini juga menyumbang kepada kebendaliran membran sel untuk membolehkan komunikasi antara sel-sel berlaku.

Bagi mereka yang mengalami sesetengah masalah kesihatan seperti diabetes, pengambilannya mungkin lebih diperlukan kerana penukaran linoleic acid kepada GLA menjadi lebih sukar dan perlahan. Ini penting kerana untuk membolehkan ia digunakan sepenuhnya oleh tubuh, ia perlu ditukar kepada GLA.

Selain itu, faktor pemakanan dan gaya hidup juga boleh menjejaskan penukaran ini. Ini merangkumi makanan yang tinggi dengan lemak tepu, makanan proses, kolesterol, gula dan alkohol, stres dan peningkatan usia. Penukaran yang lemah ini boleh mengakibatkan paras prostaglandin yang lebih rendah.

Prostaglandin adalah bahan yang menyerupai hormon yang bertanggungjawab kepada beberapa fungsi tubuh, termasuklah dalam pengawalan tekanan darah, merehatkan salur darah untuk peredaran darah yang lebih baik, mencegah pembekuan darah, menghalang sintesis kolesterol, mengawal tindak balas hormon dalam sistem reproduktif dan juga mengawal paras insulin dan sebagainya.

Pengambilan asid lemak melalui makanan harian adalah perlu memandangkan ia tidak boleh dihasilkan oleh tubuh. Sumber GLA daripada makanan agak terhad dan hanya boleh dijumpai dengan jumlah yang kecil dalam oat dan juga daging organ. Untuk memperolehi sejumlah GLA yang lebih tinggi atas alasan kesihatan tertentu, minyak yang diekstrak daripada biji bunga evening primrose, iaitu dalam bentuk suplemen merupakan alternatif yang lebih mudah dan menyenangkan.

Dengan itu, jika diambil kira faktor-faktor seperti peningkatan usia, faktor kesihatan, pemakanan dan gaya hidup kini, pengambilan minyak evening primrose memberi manfaat kepada wanita sama ada untuk alasan kesihatan mahupun kecantikan secara umum.

Adakah Produk Evening Primrose Oil anda HALAL ?

Baru-baru ini saya menerima banyak email daripada pembaca dan pengguna yang bertanya mengenai status produk Evening Primrose Oil yang mereka gunakan, sama ada ia halal ataupun tidak?

Terdapat lebih 1400 produk Evening Primrose oil yang berdaftar dan dipasarkan di Malaysia. Hampir semua produk EPO ini adalah dalam bentuk Kapsul Gelatin Lembut ataupun Softgels Capsules.

Kapsul Gelatin Lembut (softgel) merupakan bentuk dosej ubat yang hamper sama dengan kapsul biasa. Ia terdiri daripada sarung kapsul lembut yang mengandungi cecair atau minyak di dalamnya. Sarung kapsul lembut ini diperbuat daripada kombinasi gelatin, air, dan egen plasticizer seperti  glycerin atau sorbitol.

Persoalan utama ialah adakah gelatin yang digunakan untuk menghasilkan Sofgel ini adalah dari sumber halal ataupun tidak?

Gelatin merupakan protein yang dihasilkan daripada sumber haiwan seperti babi, lembu dan kerbau iaitu daripada kulit, tulang dan sendi-sendinya. Selain itu gelatin juga boleh dihasilkan daripada sumber sayuran. Menurut kajian, 44% gelatin di dunia dihasilkan daripada kulit babi,  28% kulit lembu,  27% daripada tulang dan hanya 1% daripada sumber lain. Kajian ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan gelatin dari kulit babi adalah begitu tinggi berbanding sumber sumber lain.

Selain daripada gelatin dari sumber babi yang ternyata haram bagi umat Islam, gelatin dari sumber lembu juga diragui status halalnya kerana tidak dapat dipastikan sama ada lembu itu disembelih mengikut syariat Islam ataupun tidak.

Untuk mengetahui jenis gelatin yang digunakan dalam produk Evening Primrose Oil anda, anda boleh membacanya di bahagian label produk ataupun terus bertanya kepada ahli farmasi yang menjualnya.  Label produk yang menyatakan

“Gelatin source is bovine” – maksudnya gelatin yang digunakan ialah gelatin lembu

“Gelatin source is porcine” – maksudnya gelatin yang digunakan ialah gelatin babi

“Gelatin source is bovine anda porcine” – maksudnya gelatin yang digunakan ialah campuran   gelatin lembu dan babi

“Vegicaps” – maksudnya kapsul yang digunakan adalah kapsul dari sumber sayuran.

Pastikan anda mencari maklumat ini dulu di bahagian label sebelum membelinya. Selain itu, untuk panduan anda terdapat 10 produk Evening Primrose Oil keluaran tempatan yang mempunyai Persijilan Halal daripada JAKIM. Pihak JAKIM telah memastikan sumber yang digunakan dalam penghasilan produk ini termasuklah gelatin adalah dari sumber yang halal.

10 produk ini termasuklah:

1.

EVENING PRIMROSE OIL SOFTGEL
JENAMA: HALAGEL
PENGILANG -HALAGEL PLANT (M) SDN BHD

2.

EVENING PRIMROSE OIL SOFTGEL
JENAMA: DR. AISHAH SOLUTION
PENGILANG -AFDHAL SDN BHD

3.

EVENING PRIMROSE OIL SOFTGEL
JENAMA: HPA
PENGILANG -HPA INDUSTRIES SDN. BHD.

4.

GYNITA NATURECARE EVENING PRIMROSE OIL 500MG
JENAMA: GYNITA
PENGILANG -LONNIX (M) SDN BHD

5.

GYNITA NATURECARE ORGANIC EVENING PRIMROSE OIL 1000MG
JENAMA: GYNITA
PENGILANG -LONNIX (M) SDN BHD

6.

HOVID EVENING PRIMROSE OIL + VITAMIN E SOFT GELATIN CAPSULE
JENAMA: HOVID
PENGILANG -HOVID BERHAD

7.

HOVID EVENING PRIMROSE OIL 1000MG SOFTGEL
JENAMA: HOVID
PENGILANG -HOVID BERHAD

8.

HOVID EVENING PRIMROSE OIL 500MG SOFT GELATIN CAPSULE
JENAMA: HOVID
PENGILANG -HOVID BERHAD

9.

NATURALLE EVENING PRIMROSE OIL PLUS OMEGA 3 FISH OIL SOFTGEL CAPSULE
JENAMA: NATURALLE
PENGILANG -CCM PHARMACEUTICALS SDN BHD

10.

NATURALLE EVENING PRIMROSE OIL SOFTGEL CAPSULE
JENAMA: NATURALLE
PENGILANG -CCM PHARMACEUTICALS SDN BHD

 

Produk-produk Evening Primrose Oil yang lain juga ada yang mempunyai Persijilan Halal daripada badan persijilan Luar Negara kerana ia dihasilkan diluar Negara. Selain itu, ada juga jenama yang menggunakan ‘vegicap’ iaitu kapsul dari sumber sayuran.

Tapi BERHATI-HATI kerana ada juga Produk Evening Primrose Oil yang menggunakan kaspul dari gelatin babi.

Semoga sedikit informasi ini dapat membantu anda dalam membuat pilihan. Pilihan yang sebenar terletak di tangan anda sebagai pengguna. Pilihlah barangan yang halal, baik dan berkualiti.

“ MENCARI YANG HALAL ITU WAJIB BAGI SETIAP MUSLIM”

————————————————————————————————————————

Anda boleh dapatkan maklumat lanjut mengenai pelbagai produk dan ubat-ubatan yang mengandungi unsur haram di laman web http://www.halalscience.com

————————————————————————————————————————-

Penulis,

Abd Rahman Baco

facebook.com/abdrahman.bpharm